PRN Johor: `Tunggu perkenan Sultan Ibrahim dan Tunku Ismail’ – Ahmad Zahid

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan perbincangan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya akan dibuat selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Menurut beliau, sama ada PRN Johor akan diadakan lebih awal daripada PRN Melaka, perkara itu juga akan dibincangkan dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Saya akan berbincang dengan Menteri Besar (Onn Hafiz) setelah perkenan daripada Tuanku berdua (Sultan Ibrahim dan Tunku Ismail),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor di Johor Bahru hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Selain itu, turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Mengulas mengenai Mesyuarat MKT UMNO yang berlangsung selama satu jam setengah itu, Ahmad Zahid berkata, ia adalah mesyuarat biasa membincangkan pelbagai isu nasional dan bukan mengenai PRN Johor.

“Banyak isu-isu nasional yang besar, tetapi secara seriusnya, saya ingin menyatakan bahawa ini adalah hanya mesyuarat biasa,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid bersama kepimpinan tertinggi UMNO menghadap Sultan Ibrahim dan Tunku Ismail di Istana Besar Johor di Johor Bahru pada sebelah pagi, sempena ulang tahun UMNO ke-80.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri turut mengesahkan, ketika menghadap tiada perbincangan menyentuh soal PRN Johor.

“Pagi tadi, bagi pihak UMNO Malaysia dan UMNO Negeri Johor, saya menjunjung kasih ke atas Yang di-Pertuan Agong dan Pemangku Sultan Johor yang berkenan berangkat dalam sesi fotografi di Tangga Selat, Istana Besar Johor.

“Pada 11 Mei 1946, ketika penubuhan UMNO, sesi fotografi diadakan di tangga yang sama. Ini bukan hanya sekadar nostalgia tetapi merupakan sesuatu yang amat dihargai oleh kepimpinan UMNO di semua peringkat,” jelasnya.

Sebelum sidang media bermula, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang dapat menjangka akan disoal wartawan mengenai PRN Johor, sempat berseloroh bahawa pilihan raya itu ia tidak akan berlangsung esok.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img