DALAM usaha memperkukuh aspek keselamatan di institusi pendidikan, Kementerian Pendidikan (KPM) sedia pertimbangkan cadangan bagi menempatkan anggota keselamatan di sekolah.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, KPM sedang memuktamadkan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat bagi menambah baik garis panduan sedia ada.
“Pihak KPM sedang memuktamadkan garis panduan keselamatan baharu menerusi penglibatan Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan yang dianggotai pakar daripada pelbagai latar belakang.
“Mengenai cadangan untuk meletakkan anggota keselamatan di sekolah, KPM akan teliti cadangan itu ” katanya selepas Majlis Pelancaran MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) 2026 Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin, Johor Bharu.

Beliau juga menjelaskan, KPM akan memastikan garis panduan yang dimuktamadkan, selari dengan cabaran semasa dan kekal relevan dalam melindungi murid serta warga sekolah.
Mengenai jawatankuasa reformasi tersebut, Fadhlina berkata, ia dianggotai wakil pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
Selain itu kata beliau, ia turut diwakili pelbagai wakil bukan kerajaan serta wakil komuniti bagi memastikan bahawa isu-isu yang terkait dengan keselamatan di sekolah diberi perhatian.
“Kita juga mengarahkan guru sekolah dan pengetua untuk mengambil langkah-langkah keselamatan dengan tegas, isu keselamatan ini tidak ada kompromi,” katanya.


