Eksekutif kanan binaan agensi kerajaan direman kes minta, terima rasuah RM8,000

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan reman seorang eksekutif kanan binaan di sebuah agensi kerajaan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM8,000, dua tahun lalu.

Bayaran rasuah itu dipercayai sebagai balasan mendapatkan kontrak, meluluskan penilaian kontrak kerja, mendapatkan perakuan siap kerja serta mempercepatkan tuntutan pembayaran untuk sebuah syarikat binaan dan sebuah syarikat kontraktor.

Perintah reman ke atas suspek selama tujuh hari sehingga 18 Mei depan dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan pagi ini.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pahang.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024 dengan membantu kedua-dua buah syarikat terbabit mendapatkan kontrak, meluluskan penilaian kontrak kerja, mendapatkan perakuan siap kerja serta mempercepatkan tuntutan pembayaran.

“Suspek dipercayai menerima wang rasuah daripada syarikat-syarikat tersebut melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya,” kata sumber itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img