Kaki kanak-kanak perempuan nahas empat bersaudara ke sekolah terpaksa dipotong

KANAK-kanak perempuan yang terlibat kemalangan di Kilometer 51.4 Jalan Kota Bharu–Kuala Krai berhampiran Kampung Pek ketika dalam perjalanan ke sekolah pagi semalam, terpaksa dipotong bahagian kaki kanan hingga ke paras paha bagi mengelak komplikasi serius.

Menurut bapa saudara mangsa, Nadzri Abdullah, 51, Mas Siti Rosnani Rosli, 7, selesai menjalani pembedahan dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) untuk pemantauan lanjut.

“Kaki kanan anak saudara saya terpaksa dipotong selepas berlaku pembekuan darah selain tisu dan isi daging pada bahagian kaki berkenaan sudah mati, selain mengelakkan komplikasi yang lebih serius terhadap keadaannya,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Nadzri berkata, seorang lagi anak saudaranya, Muhammad Muskir Rosli, 14, dijadual menjalani pembedahan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai hari ini.

“Muhammad Muskir cedera parah apabila tulang paha kanan hancur dan perlu dimasukkan besi pada bahagian kaki berkenaan manakala dua lagi cucu saudara saya, Muhamad Hakikat Abdul Rahman, 9, dan Muhammad Zulhaqif Muhamad Zulkifli, 12, berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di HSIP,” katanya.

Nadzri turut berharap orang ramai tidak menyebarkan berita tidak sahih mengenai keadaan anak saudara dan cucu saudaranya yang kini menerima rawatan di hospital.

“Saya cuma berharap orang ramai dapat mendoakan kesembuhan mereka,” katanya.

Media semalam melaporkan, empat bersaudara yang dalam perjalanan ke sekolah parah selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Azuhar Md Nor berkata, siasatan awal mendapati kereta Honda Jazz dipandu guru wanita berusia 39 tahun dari arah Machang menghala ke Kuala Krai sebelum berlanggar dengan motosikal Honda C100 yang dinaiki semua mangsa dari arah bertentangan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img