SEORANG lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah Perodua Myvi di Kilometer 158, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Chukai, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, mangsa, Zulkarnain Rawi, 51, yang menunggang motosikal jenis KTM 250 Duke disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Chendor Baru, Kuantan, Pahang bekerja sebagai pemandu lori.
Menurutnya, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari bandar Chukai menuju ke Chendor Baru.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa merempuh Perodua Myvi dipandu lelaki warga emas dari arah Pusat Dialisis Buah Pinggang menuju Bandar Chukai.
“Sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat, mangsa dipercayai meneruskan perjalanan ketika lampu hijau sedang berkelip.
“Dalam masa sama, kereta terbabit keluar dari simpang dan mangsa gagal mengelak sebelum melanggar bahagian kenderaan itu,” katanya.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan.
“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat sementara pemandu kereta berusia 78 tahun yang cedera ringan dirawat di hospital sama.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


