SEORANG wanita orang kurang upaya (OKU) ditemukan rentung manakala ibunya cedera selepas rumah dua tingkat yang mereka diami di Bagan Tiang, Parit Buntar terbakar awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.34 pagi itu, mangsa berusia 48 tahun gagal diselamatkan selepas terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan sebahagian besar rumah berkenaan.
Ibunya berusia 71 tahun pula mengalami kecederaan pada kedua-dua tapak kaki ketika cuba menyelamatkan diri.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Buntar dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran membabitkan rumah kelas B dua tingkat yang terbakar kira-kira 70 peratus selain sebuah Proton Iriz turut musnah 70 peratus,” menurut kenyataan itu.
Operasi pemadaman turut dibantu BBP Kuala Kurau dan Pasukan Bomba Sukarela Parit Buntar membabitkan 17 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT).
Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 3 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 6.25 pagi.
“Mangsa yang cedera diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.


