PENGORBANAN seorang abang yang nekad meredah api demi menyelamatkan adiknya berakhir tragedi apabila remaja orang kurang upaya (OKU) itu ditemukan rentung dalam kebakaran rumah di Kampung Torintidon, Jalan Kampung Lampada, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 pagi itu, mangsa, Lorex Sindam, 16, dipercayai terperangkap selepas rumah mereka terbakar sepenuhnya.
Abang mangsa, Razani Sindam, 28, pula melecur ketika cuba menyelamatkan adiknya sebelum dihantar penduduk kampung ke Hospital Kota Marudu untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Penolong Penguasa Bomba Debli Mamoi berkata, sepasukan 10 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Vigo dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.
Menurutnya, jentera bomba hanya dapat melalui perjalanan sejauh 14 kilometer sebelum anggota terpaksa meneruskan perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda berikutan keadaan jalan tidak berturap.
“Setibanya di lokasi pada jam 4.48 pagi, rumah jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 78 meter persegi itu sudah terbakar sepenuhnya.
“Seorang mangsa ditemukan rentung di lokasi dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, operasi turut berdepan kesukaran berikutan kawasan kampung berkenaan tidak mempunyai liputan komunikasi yang stabil.
Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.53 pagi selepas bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.


