SEMUA pimpinan dan ahli parti komponen Perikatan Nasional (PN) diingatkan tidak membuat sebarang kritikan yang tidak wajar secara semberono kepada mana-mana parti sekutu sama ada melalui media mahupun sebarang saluran lain.
Setiausaha PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini berkata, sebarang ketidakpuasan hati haruslah disalurkan kepada saluran parti masing-masing yang kemudiannya akan dibawa, dibincangkan dan diputuskan secara musyawarah di dalam PN.
“PN menerusi kepimpinannya kini akan menumpukan segala usaha dan tenaga kepada isu yang lebih besar yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat. Segala masalah dalaman parti pastinya akan diurus dan dikendalikan secara dalaman dengan lebih berkesan, bijaksana dan positif lagi,” katanya.
Walaupun dalam kenyataan tiga para itu Takiyuddin tidak merujuk mana-mana pemimpin tetapi ia dipercayai ada kaitan dengan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi semalam yang menyifatkan Bersatu sudah hilang arah dan melihat parti tersebut sebagai “tiada roh.”
Dr Tengku Muhammad Fakhruddin melihat tindakan Bersatu mengambil tindakan ke atas ramai wakil rakyat mereka sebagai proses ‘sembelih.’
“Disembelih satu-satu pemimpin untuk terus berkuasa. Parti yang namanya Bersatu sekarang hanya tinggal parti yang sudah tiada roh,” katanya dalam kenyataan ringkas yang dimuat naik di media sosial.
Tengku Muhammad Fakhruddin turut mencadangkan langkah yang dirasakan wajar buat Bersatu.
“Kalau dah macam ni molek Bersatu keluar je dari PN. Hadirnya seperti bayang senja, hilang tanpa kesan, lenyap tanpa bekas,” katanya lagi.


