Bekas pegawai bank didenda RM90,000 terima rasuah urusan pinjaman rumah

SEORANG bekas pegawai bank didenda keseluruhan RM90,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini, selepas mengaku bersalah atas 17 pertuduhan pilihan menerima rasuah lebih RM123,000 serta gagal melaporkan pemberian suapan berkaitan urusan pinjaman perumahan sejak 2019.

Tertuduh, Mohd Rais Mohamed Ramli, 45, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara antara dua hingga 10 bulan sekiranya gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan.

Susulan pengakuan bersalah terhadap pertuduhan pilihan itu, mahkamah melepaskan Mohd Rais daripada baki sembilan pertuduhan utama mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 selaras Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah selepas dipohon pihak pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan keseluruhan RM123,132.50 daripada Tetuan Arizal Jailani & Co melalui akaun Maybank syarikat Anugerah Qaseh Enterprise milik isterinya antara 13 Disember 2019 hingga 27 Januari 2023.

Suapan itu diterima sebagai balasan membantu firma guaman berkenaan mendapatkan rujukan kes pinjaman perumahan dengan Malaysia Building Society Berhad (MBSB) Bank melalui pegawai eksekutif bank di bawah seliaannya ketika itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang ketika itu memegang jawatan Ketua Jualan Ibu Pejabat MBSB terikat dengan dasar bank yang hanya membenarkan penerimaan bonus tahunan serta melarang penerimaan komisen daripada pelanggan atau panel peguam.

Bagaimanapun, siasatan mendapati tertuduh meminta suapan daripada firma guaman melalui orang tengah sebagai komisen bagi membantu urusan rujukan kes pembiayaan hartanah bank berkenaan antara 2018 hingga 2023.

Terdahulu pada 25 Februari tahun lalu, Mohd Rais pernah didakwa atas 26 pertuduhan meminta suapan berjumlah RM153,622.47 membabitkan tempoh lima tahun bermula 2018.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img