Pembantu kedai didenda RM3,800 miliki senapang angin tanpa lesen

SEORANG pembantu kedai didenda RM3,800 oleh Mahkamah Majistret Tumpat hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki selaras senapang angin tanpa lesen di Kampung Nechong, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Syahmi Mat Ghoni, 24, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki selaras senapang angin tanpa permit atau lesen sah di Kampung Nechong pada 6 Mei lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahfuzah Hamizah Mohd Ariff manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Afiqah Amran.

Terdahulu, pihak pembelaan memohon hukuman denda minimum atas alasan tertuduh yang memperoleh pendapatan sekitar RM50 sehari sudah insaf selain senjata itu hanya digunakan untuk menembak haiwan liar termasuk burung di kawasan sekitar tempat tinggalnya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,800 atau sembilan bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img