KADAR penyertaan penjaja dalam program bantuan kewangan formal dikenal pasti masih berada pada tahap rendah apabila hanya kira-kira lima peratus golongan itu menerima manfaat daripada kemudahan disediakan agensi kerajaan dan institusi kewangan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini berdasarkan kajian dan hasil kaji selidik dilakukan Khazanah Research Institute.
Beliau berkata, antara faktor utama dikenal pasti ialah status perniagaan penjaja yang tidak berdaftar sehingga menyukarkan mereka mendapatkan akses kepada bantuan kewangan formal.
“Berdasarkan kajian tersebut, hanya lima peratus penjaja mendapat bantuan melalui Bank Simpanan Nasional, TEKUN, Amanah Ikhtiar dan lain-lain program.
“Perdana Menteri meminta kementerian berkaitan mengadakan sesi libat urus termasuk bersama penjaja sendiri bagi memahami isu yang dihadapi,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan bantuan kewangan formal dapat diperluaskan kepada golongan penjaja yang memerlukan.


