PAS Kawasan Kota Melaka memandang serius kebiadaban dan tindakan pihak tertentu yang terus mempertikaikan serta mempolitikkan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu penternakan babi di negeri tersebut.
Yang Dipertuan Pas kawasan itu, Sudin Nooh menegaskan, Sultan Selangor telah menegaskan pendirian dalam menjaga keharmonian negeri serta sensitiviti rakyat majoriti Islam, namun masih terdapat pihak yang dilihat cuba mempertikaikan perkara tersebut secara terbuka.
‘’Sikap seperti ini jelas menunjukkan kegagalan menghormati institusi Raja-raja Melayu dan sensitiviti majoriti rakyat Malaysia. Tindakan melampau sedemikian bukan sahaja mencetuskan keresahan rakyat, malah boleh menggugat keharmonian masyarakat majmuk yang selama ini dipelihara,’’ kata dalam kenyataan hari ini.
Pada Sabtu ini, Dewan Pemuda Pas akan mengadakan Himpunan Daultan Tuanku di Shah Alam.
Program tersebut bertujuan menzahirkan kesetiaan mutlak rakyat kepada titah Sultan Sharafuddin Idris Shah di samping menegaskan kepentingan mempertahankan agama Islam, kepentingan Melayu serta kedaulatan Institusi Diraja di negeri itu.
Mengulas lanjut Sudin berkata, Pas Kota Melaka menyeru seluruh rakyat khususnya pengundi Melayu agar terus berfikiran matang, tidak mudah terpengaruh dengan propaganda politik dan kekal mempertahankan prinsip agama, bangsa serta institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi teras kestabilan negara.
‘’Pas Kota Melaka akan terus istiqamah membawa suara rakyat, mempertahankan kepentingan Islam dan Melayu beserta institusi Rajanya serta menawarkan kepimpinan yang lebih bersih, stabil dan berintegriti demi masa depan negara yang lebih baik,’’ katanya.


