KERAJAAN hari ini menegaskan tiada perbincangan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri berhubung cadangan mengurangkan kuota penggunaan petrol di bawah program BUDI RON95 kepada 150 liter sebulan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, laporan media berhubung kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong sebelum ini disifatkan tidak tepat dan sudah ditarik balik.
“Saya difahamkan kenyataan itu telah ditarik balik ataupun laporan asal dengan tajuk berita yang tidak betul dan tidak tepat telah ditarik balik oleh syarikat media tersebut.
“Timbalan Menteri Kewangan juga sudah mengeluarkan penjelasan mengenai apa yang beliau maksudkan,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Menurutnya, kenyataan Chin Tong itu sebenarnya merujuk kepada kajian Kementerian Kewangan mengenai pola penggunaan bahan api rakyat berdasarkan beberapa tahap kuota termasuk 300 liter, 200 liter, 150 liter dan 100 liter.
Mengulas lanjut, perkara itu bagaimanapun disalah tafsir sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.
“Saya mengikuti rakaman video ucapan beliau dan agak jelas yang dimaksudkan adalah berdasarkan kajian Kementerian Kewangan mengenai berapa ramai rakyat Malaysia mendapat manfaat pada setiap tahap kuota itu,” katanya.
Fahmi berkata, fokus Jemaah Menteri ketika ini lebih tertumpu kepada penelitian pelaksanaan subsidi diesel bersasar menggunakan sistem seumpama BUDI95.


