KETUA Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr.Mohd Yadzil Yaakob mempersoalkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang membidas penubuhan cawangan DAP di kawasan majoriti Melayu, di Kampung Padang Temu.
Katanya, beliau ‘kagum’ dengan keberanian Abdul Razak yang menyuarakan keresahan terhadap ideologi DAP, sedangkan di peringkat Persekutuan, Setiausaha Agung UMNO menyifatkan kerjasama dengan DAP sebagai satu “aturan Allah” yang penuh hikmah.
‘’Lucu melihat reaksi “panik” pimpinan UMNO Bahagian Kota Melaka seperti cacing kepanasan hanya kerana sebuah papan tanda parti rakan mereka terpacak di kampung Melayu padahal mereka sebenarnya rakan sekatil dalam Kerajaan Perpaduan,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr.Mohd Yadzil yang juga ADUN Bemban dalam kenyataan turut mempersoalkan agak pelik apabila sebuah parti gergasi yang menyambut usia lapan dekad dengan ribuan ahli baru, tiba-tiba merasa terancam oleh sekumpulan kecil ahli yang didakwa hanya “salin kulit’’
‘’Saya setuju dengan kenyataan YB Telok Mas mengatakan DAP menggunakan angka keahlian untuk menutup “kegagalan menangani isu kos sara hidup dan ekonomi rakyat”. Secara tidak langsung, beliau telah mengesahkan apa yang kami di pihak pembangkang suarakan selama ini.
‘’Cuma bukankah UMNO BN adalah sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan? Adakah ini pengakuan bahawa barisan menteri dan Exco daripada UMNO juga telah gagal?,’’ katanya.
Beliau mendakwa, reaksi defensif dan tuduhan “manipulasi persepsi” terhadap DAP sebenarnya adalah pengakuan terbuka bahawa UMNO sendiri sedar mereka kini hanya sekadar “penumpang” dalam kerajaan.
‘’Sejarah tidak pernah menipu. Rakyat masih ingat jeritan “No DAP” yang bergema suatu ketika dahulu, sebelum ia ditelan bulat-bulat demi kelangsungan kerusi dan kuasa.
‘’Hari ini, apabila DAP mula “menuai” hasil di kawasan yang selama ini dianggap kubu kuat UMNO, mereka mula meracau. Janganlah terkejut jika “rakan” yang anda peluk erat di meja rundingan, kini mula mengetuk pintu rumah anda di kampung-kampung,’’ katanya.
Dr.Mohd Yadzil berkata, daripada sibuk menyerang cawangan baru rakan sekutu sendiri, lebih baik UMNO bermuhasabah.
‘’Rakyat dan pimpinan politik Melayu yang bermaruah kini lebih tertarik kepada gerakan “RESET” yang dipelopori oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Gerakan RESET membawa visi pembaharuan yang segar, lebih bersih, dan kompeten,’’ katanya yang mencadangkan UMNO meninggalkan Kerajaan MADANI.
Semalam Abdul Razak yang juga UMNO bahagian Kota Melaka dalam satu kenyataan berkata, mereka memandang serius kenyataan yang cuba menggambarkan penubuhan cawangan DAP di Kampung Padang Temu sebagai satu ‘sejarah besar’ yang kononnya membuktikan masyarakat Melayu semakin menerima perjuangan parti itu.
Beliau berkata, hakikatnya penyertaan beberapa individu Melayu itu melibatkan mereka yang kecewa selepas menutup cawangan Parti Amanah Negara (Amanah) dan hanya ‘salin kulit’ sebelum menyertai DAP.
Menurutnya, situasi itu sama sekali tidak boleh dijadikan ukuran bahawa keseluruhan masyarakat Melayu telah menerima sepenuhnya ideologi dan perjuangan DAP.
“UMNO ingin menegaskan bahawa masyarakat Melayu di negara ini sentiasa terbuka kepada demokrasi dan perbezaan pandangan politik. Namun, keterbukaan itu jangan dimanipulasi untuk membina persepsi bahawa DAP kini menjadi ‘juara Melayu’, sedangkan rekod dan pendirian ramai pimpinan mereka sebelum ini sering menimbulkan keresahan berkaitan kedudukan Islam, hak Melayu Bumiputera, Bahasa Melayu serta institusi Raja-Raja Melayu,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Kata Abdul Razak, pihaknya menghormati hak mana-mana individu untuk menyertai parti pilihan masing-masing.
“Namun, DAP tidak wajar menggunakan angka keahlian atau sentimen ‘penerimaan Melayu’ sebagai propaganda politik untuk menutup kegagalan mereka menangani isu kos sara hidup, ekonomi rakyat serta keresahan masyarakat terhadap masa depan negara.
“UMNO Bahagian Kota Melaka akan terus istiqamah mempertahankan agenda Melayu dan Islam dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, di samping memperkukuh perpaduan rakyat berbilang kaum secara sederhana dan harmoni,” katanya.


