KETUA Pesuruhanjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman menegaskan, akan memastikan agensi itu akan bertindak dengan ketegasan lebih mutlak, keadilan saksama dan tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan kuasa tanpa mengira pangkat, kedudukan mahupun pengaruh.
Tegasnya, rasuah dalam apa juga bentuk adalah sama sekali tidak boleh diterima dan ia merupakan pengkhianatan terbesar terhadap rakyat serta ancaman parah kepada masa depan negara.
‘’Bagi memulihkan keyakinan masyarakat terhadap Suruhanjaya ini, SPRM akan memperhebatkan lagi aspek penguatkuasaan, mempertingkatkan ketelusan serta memastikan setiap siasatan dilaksanakan dengan tahap profesionalisme tertinggi dengan keadilan yang menyeluruh,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan pertama sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM
Abd Halim berkata, pada masa sama, SPRM akan memastikan langkah pencegahan terus diperkasa, perlindungan terhadap pemberi maklumat akan diperkukuh selain kerjasama strategik dengan semua pihak berkepentingan akan dipertingkatkan demi menyemai budaya integriti dalam negara.
‘’Pemulihan keyakinan masyarakat ini bukan satu pilihan tetapi merupakan suatu tuntutan yang tidak boleh ditangguhkan bagi memastikan SPRM kekal teguh, telus dan bertanggungjawab berpaksikan sepenuhnya kepada kedaulatan undang-undang,’’ katanya.
Sehubungan itu, Abdul Halim berkata, seluruh rakyat Malaysia agar bangkit dan bersatu menolak rasuah kerana ia adalah tanggungjawab bersama.
‘’Dengan tekad dan kesatuan, kita mampu membina sebuah negara yang teguh berteraskan integriti, keadilan dan kepercayaan,’’ katanya.
Mengenai pelantikannya beliau mengucapkan penghargaan kepada kerajaan atas kepercayaan dan amanah yang diberikan.
‘’Saya menjunjung amanah bagi memikul tanggungjawab untuk memimpin dan menerajui Suruhanjaya ini pada saat yang amat penting dan mencabar bagi negara.
‘’Dengan berbekalkan pengalaman dalam institusi kehakiman, saya akan membawa bersama landasan berteraskan kedaulatan undang-undang (Rule of Law) yang utuh dengan iltizam tidak akan sama sekali menggugat proses keadilan dalam apa jua keadaan,’’ katanya.
Selain itu katanya berbekal pengalama itu juga beliau berharap dapat memacu pembentukan SPRM lebih tegas, berwibawa serta bebas sepenuhnya, sekali gus memastikan agensiu ini dapat bertindak tanpa gentar dan pilih kasih.


