MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan penghakiman bernilai AS$1.3 bilion yang diperolehi SRC International Sdn Bhd terhadap bekas Prdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sementara menunggu rayuan.
Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin, ketika menyampaikan keputusannya, berkata mahkamah berpuas hati wujud keadaan istimewa mewajarkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut.
Ahmad Fairuz mengambil maklum bahawa Najib secara serentak tertakluk kepada satu lagi penghakiman monetari yang timbul daripada prosiding dimulakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), serta denda dikenakan ke atasnya hasil daripada sabitan jenayah.
“Penghakiman dan perintah serentak dihadapi defendan (Najib) apabila diambil secara bersama, membentuk keadaan istimewa yang menjadi sebab mengapa penangguhan perlu dibenarkan,” katanya lapor FMT.
Katanya, perintah penangguhan itu tidak menghapuskan hak SRC International terhadap keputusan penghakiman berkenaan.
“Sebaliknya, defendan akan berdepan prejudis yang tidak boleh diperbaiki jika pelaksanaan (penghakiman) diteruskan,” katanya.
Mahkamah juga memerintahkan Najib membayar ‘global sum’ berjumlah RM2 juta kepada peguam cara SRC International, dan RM150,000 setiap seorang peguam cara pihak ketiga.
Pada 31 Mac, mahkamah memutuskan Najib bertanggungjawab atas kerugian sebanyak AS$1.18 bilion dialami syarikat itu serta tambahan AS$120 juta dalam bentuk ganti rugi terkuantifikasi, selepas mendapati beliau merancang penyelewengan dana ke dalam akaun bank peribadinya.
Satu penghakiman ingkar turut dimasukkan terhadap defendan kedua, bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Nik Faisal Ariff Kamil, yang masih bebas.
SRC memfailkan saman pada Mei 2021, dengan menamakan bekas Pengerusi syarikat Ismee Ismail, serta bekas pengarah Suboh Yasin, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Azhar Osman Khairuddin, dan Che Abdullah @ Rashidi Che Omar sebagai defendan bersama.
Syarikat itu bagaimanapun menggugurkan kes terhadap mereka, namun Najib kemudiannya menambah mereka sebagai pihak ketiga.
Peguam Lim Chee Wee mewakili SRC International, manakala Tan Sri Shafee Abdullah dan Farhan Shafee mewakili Najib.


