BEBERAPA individu utama dalam sindiket pengedaran dadah di Pulau Langkawi akan didakwa susulan operasi khas dijalankan pada April lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sudah menerima maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah seperti dilaporkan sejak Januari lalu dan menjalankan risikan serta siasatan terperinci selama beberapa bulan.
Beliau berkata, hasil siasatan itu berjaya mengenal pasti beberapa individu utama yang dipercayai terlibat dalam sindiket berkenaan sebelum satu operasi khas dikenali sebagai ‘Op Langka’ dilancarkan pada 10 April lalu.
“Pertuduhan telah dan akan dibuat termasuk pertuduhan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 ke atas seorang suspek yang mempunyai 10 rekod lampau, iaitu lima kes di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952, empat kes di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan satu kes di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan.
“Berdasarkan siasatan dan tindakan operasi yang telah dijalankan, JSJN percaya wujud penglibatan pegawai polis dalam aktiviti pengedaran dadah di Pulau Langkawi.
“Tindakan secara agresif akan diambil mengikut ADB 1952, ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hussein berkata, serbuan turut dijalankan di sebuah rumah yang menjalankan aktiviti ‘private party’ yang didalangi kumpulan lain, diketuai seorang lelaki Cina tempatan.
Dalam operasi itu, katanya, polis menahan tiga lelaki tempatan dan tujuh wanita warga Thailand.
“Selain itu, turut dirampas pelbagai dadah antaranya 82 gram serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA), pil ekstasi seberat 12.5 gram, pil Erimin 5 seberat 12.5 gram dan ketamin seberat empat gram.
“Kesemua tangkapan dan rampasan itu dibuat di bawah Seksyen 39B ADB 1952,” katanya.
Susulan operasi itu, beliau berkata, satu lagi serbuan di Lembah Klang membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan, tiga wanita tempatan, selain seorang lelaki warga Singapura dan seorang perempuan warga Filipina.
Katanya, polis turut merampas dadah berupa bunga ganja seberat 170 kilogram (kg) serta ganja seberat tujuh kilogram dengan nilai sitaan dianggarkan RM14.1 juta.
Dalam pada itu, Hussein berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah.
Katanya, ia termasuk yang memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang.


