Proses peralihan MyKad Struktur Baharu tak ganggu proses bantuan kerajaan

PROSES peralihan dan penukaran kad pengenalan kepada MyKad Struktur Baharu pada Jun ini tidak akan mengganggu proses penebusan bantuan kerajaan yang menggunakan MyKad seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya akan memastikan senarai nama penerima bantuan yang sedia ada di dalam sistem akan kekal dan tidak tercicir semasa proses pertukaran tersebut.

“Pihak JPN telah menjalin kerjasama erat dengan pelbagai kementerian dan agensi penyalur bantuan bagi memastikan integriti data yang disalurkan tetap kekal lancar dan utuh.

“Proses migrasi maklumat akan berlaku secara automatik dalam sistem pangkalan data pusat, sekali gus memastikan bantuan akan diterima kepada penerima yang layak,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi menjawab kegusaran segelintir pihak mengenai kemungkinan gangguan teknikal atau keciciran nama daripada senarai penerima bantuan susulan pelancaran MyKad Struktur Baharu.

JPN memaklumkan ciri keselamatan baharu pada MyKad Struktur Baharu tersebut akan memantapkan lagi proses pengesahan identiti penerima, sekali gus menyokong ekosistem sedia ada yang digunakan untuk tujuan penyaluran subsidi dan bantuan.

“Fokus utama JPN adalah untuk meningkatkan keselamatan identiti rakyat dan tidak menyukarkan rakyat untuk menerima bantuan kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Rakyat dinasihatkan agar tidak terperdaya dengan khabar angin atau maklumat palsu yang mendakwa bantuan akan dihentikan jika kad tidak ditukar dengan segera.

Proses penukaran akan dilaksanakan secara berfasa dan makluman terperinci mengenai tatacara permohonan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi JPN di  www.jpn.gov.my atau saluran rasmi media sosial JPN.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Badrul Hisham Alias dilaporkan berkata MyKad baharu itu akan dilengkapi dengan 53 ciri keselamatan berbanding 23 ciri pada MyKad sedia ada.

Beliau berkata antara ciri keselamatan itu ialah turihan laser, ultraungu, hologram, guilloche, teks mikro, kod respons pantas (QR) bagi tujuan penguatkuasaan dan cip dengan tahap enkripsi yang dipertingkatkan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img