CUBAAN empat lelaki warga China meloloskan diri dengan memecut laju dan cuba merempuh sekatan jalan raya (SJR) berakhir dengan penahanan mereka di Kampung Wai, Kuala Perlis, dekat Kangar, semalam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihaknya menemui pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah termasuk rambut palsu bagi tujuan penyamaran.
“Kesemua suspek berusia antara 45 hingga 52 tahun itu ditahan kira-kira jam 4.30 petang selepas polis menerima maklumat awam mengenai sebuah Toyota Innova dalam keadaan mencurigakan di Taman Sentosa, Kuala Perlis.
Menurutnya, sepasukan polis yang menghampiri kenderaan itu sambil memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa bagaimanapun dikejutkan apabila suspek bertindak memecut laju untuk melarikan diri.
“Suspek kemudian cuba merempuh sekatan di SJR Kampung Wai namun berjaya ditahan dengan bantuan anggota bertugas di lokasi.
“Ketika diarahkan membuka pintu, mereka enggan memberi kerjasama sebelum bertindak mengundurkan kenderaan dan hampir melanggar anggota polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tindakan itu memaksa anggota memecahkan cermin belakang serta cermin penumpang hadapan sebelum berjaya membuka pintu dan menahan semua suspek selepas berlaku pergelutan.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit menemukan pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah termasuk besi, sepana boleh laras, alat pemotong, pemutar skru dan alat berbentuk ‘T’ yang diubah suai dipercayai berfungsi sebagai ‘master key’.
“Turut dirampas dua rambut palsu, empat topeng muka, sarung tangan, dua set ‘walkie-talkie’, lampu suluh, telefon bimbit, wang tunai, pasport dan Toyota Innova yang disewa di Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua suspek masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5 Mei lalu sebagai pelancong dan tidak mempunyai pekerjaan di Malaysia.
“Semakan mendapati mereka tiada rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga negatif,” ujarnya.
Katanya, keempat-empat suspek kini direman selama lima hari hingga 18 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


