HUKUMAN mati terhadap seorang bekas penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang mengaku bersalah membunuh teman wanita hamil dengan menikam serta membakar mayat mangsa digantikan dengan penjara 40 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Rayuan hari ini.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azman Abdullah membenarkan rayuan Fakrul Aiman Sajali, 23, selepas mengambil kira faktor usia tertuduh ketika melakukan kesalahan berkenaan.
“Kami mengambil kira umur perayu ketika melakukan kesalahan itu dan undang-undang yang memberi pilihan kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman mati atau penjara,” kata Azman yang bersidang bersama Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Seri Mohd Radzi Harun.
Peguam Nor Tamrin dalam hujahnya memohon hukuman penjara dikenakan terhadap anak guamnya atas alasan Fakrul merupakan pesalah muda selain Seksyen 293 Kanun Tatacara Jenayah membolehkan mahkamah mempertimbangkan hukuman alternatif.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob berhujah kesalahan dilakukan adalah serius dan faktor usia muda tidak seharusnya dijadikan alasan untuk meringankan hukuman.
Mengikut Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan sama ada hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun bagi kesalahan membunuh.
Jika hukuman mati tidak dikenakan, pesalah lelaki berusia bawah 50 tahun turut berdepan sekurang-kurangnya 12 kali sebatan.
Pada 15 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi Klang menjatuhkan hukuman mati terhadap Fakrul selepas dia mengaku bersalah membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau, Sabak Bernam antara jam 8.30 malam 22 Mei hingga 8 pagi 23 Mei 2023.
Ketika kejadian, tertuduh berusia kira-kira 20 tahun.
Hakim Norazlin Othman menjatuhkan hukuman itu, selepas Fakrul mengekalkan pengakuan bersalahnya.
Mahkamah turut mengambil kira tindakan tertuduh yang bukan sahaja meragut nyawa mangsa, malah kandungan berusia 18 minggu dalam rahim wanita itu.
Berdasarkan fakta kes, Fakrul memukul kepala mangsa menggunakan kayu sebelum mengheret wanita itu ke tepi longkang, menikam bahagian perut dan mengelar lehernya.
Laporan bedah siasat Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh kemudian mengesahkan hampir keseluruhan tubuh mangsa mengalami kesan terbakar.


