SEORANG lelaki dijangka akan dihadapkan ke Mahkamah Kuala Lumpur esok atas dua pertuduhan membunuh pasangan suami isteri dalam kemalangan maut di Jalan Ampang awal bulan ini.
Tertuduh, Danish Raman Kamar Kumaresan, 24, dijadual didakwa kira-kira jam 9 pagi mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Kuala Lumpur.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pertuduhan itu membabitkan kematian penunggang motosikal, A Doraisingam, 61, dan isterinya, A Menagah, 56.
Pada 2 Mei lalu, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi berhampiran Gleneagles Hospital Kuala Lumpur, motosikal dinaiki pasangan terbabit dipercayai dirempuh sebuah kereta yang hilang kawalan.
Siasatan awal mendapati kereta dipandu tertuduh dipercayai melanggar bahagian belakang motosikal mangsa hingga menyebabkan pasangan suami isteri itu maut akibat kecederaan parah di kepala.
Dua lagi penumpang motosikal dilaporkan cedera dalam kejadian berkenaan.
Sebelum ini, Mohd Zamzuri dilaporkan berkata, pemandu kereta terbabit disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dan sampel darah serta air kencing sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut.


