DUA lelaki yang dipercayai bekerja dengan sindiket pinjaman wang tanpa lesen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini, atas dua pertuduhan membakar kenderaan milik individu berbeza, Mac dan April lalu.
Tertuduh, Khairul Helmy Abd Karim, 39, dan Mohamad Irwan Abdul Halim, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa secara bersama melakukan khianat dengan api selepas menyimbah petrol sebelum membakar sebuah kereta Honda Civic milik seorang lelaki di Persiaran Amanjaya kira-kira jam 5.30 pagi pada 20 Mac lalu.
Bagi pertuduhan kedua, kedua-duanya turut didakwa melakukan perbuatan sama terhadap sebuah Proton Saga milik seorang lelaki di Padang Mahkota Jaya kira-kira jam 4.30 pagi pada 24 April lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirul Halimi Md Salleh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Haslina Hasbullah.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Jun depan.


