Polis tumpaskan ‘Geng Acu’ dalang curi kabel ECRL

POLIS menumpaskan ‘Geng Acu’ yang terbabit kecurian kabel Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sekitar Kuantan membabitkan tujuh kes antara 7 Mac dan 27 April lalu.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, kumpulan penjenayah itu terdiri daripada lima suspek berusia antara 29 hingga 44 tahun ditahan antara 28 April dan 6 Mei lalu.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan dalam serbuan di kawasan Kampung Pandan, Jaya Gading, Sungai Lembing dan Beserah di daerah Kuantan.

Beliau berkata, daripada lima suspek berkenaan, empat lelaki terbabit secara langsung mencuri kabel manakala seorang lagi suspek adalah pembeli kabel.

“Siasatan mendapati mereka mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah. Ujian air kencing mendapati empat suspek didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Tujuh kes kecurian yang dilaporkan berlaku kawasan ECRL di sekitar Gebeng, KotaSAS dan Panching.

“Kerugian membabitkan tujuh kes berjumlah RM500,000 termasuk kecurian membabitkan kira-kira 4,200 meter kabel signal yang bertutup dengan penutup longkang yang dianggarkan RM400,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan hari ini.

Azry Akmar berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas barang kes yang bernilai RM100,000 iaitu sebuah kereta jenis Toyota Innova, kulit kabel ECRL, alat pemotong besi dan telefon bimbit.

Menurutnya, kesemua lima suspek kini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tata Cara Jenayah dan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 431a Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

“Siasatan juga mendapati ‘Geng Acu’ ini baru sahaja terlibat dalam kes kecurian kabel dan siasatan lanjut masih dilakukan,” katanya.

Bagi memastikan kes kecurian kabel tidak berlaku di jajaran ECRL di daerah ini, beliau berkata, polis dan pihak ECRL akan bekerjasama melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img