KERAJAAN belum menerima sebarang petunjuk atau permintaan berhubung aktiviti eksport semula cip kecerdasan buatan (AI) berprestasi tinggi dari Malaysia ke negara lain setakat ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan bekerjasama dengan semua agensi berkaitan bagi meneliti perkara itu serta memastikan setiap aktiviti perdagangan mematuhi peraturan ditetapkan.
“Setakat ini, kita belum menerima sebarang permintaan sedemikian. Namun, sudah tentu kita akan memberikan kerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Madrasathul Gouthiyyah Surau Brickfields, Kuala Lumpur hari ini, lapor Buletin TV3.
Perdana Menteri ditanya mengenai isu membabitkan syarikat berpangkalan di Singapura, Megaspeed International Pte Ltd dan anak syarikatnya di Malaysia, Speedmatrix Sdn Bhd.
Perkembangan itu menyusul kenyataan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini yang menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kelulusan kepada kedua-dua syarikat berkenaan.
Isu berkenaan timbul susulan dakwaan kemungkinan berlakunya penyalahgunaan pusat data tempatan sebagai saluran untuk mengeksport cip AI berprestasi tinggi ke negara lain.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan Malaysia kekal terbuka kepada pelaburan asing, namun setiap pelaburan dan aktiviti perdagangan perlu dilaksanakan mengikut undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa.
“Malaysia adalah sebuah negara perdagangan dan kita mengalu-alukan pelaburan. Kita mahu memastikan semua peraturan dipatuhi,” katanya.





