POLIS berjaya menumpaskan dua sindiket penipuan dalam talian didalangi warga asing yang menggunakan taktik ‘love scam’ dan pelaburan tidak wujud menerusi serbuan di Taman Kota Bendahari, Klebang, pada 23 April lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam operasi itu seramai 45 warga asing berusia antara 20 hingga 44 tahun ditahan.
Menurutnya, mereka terdiri daripada 20 lelaki warga China, 19 lelaki warga Vietnam, empat wanita warga Vietnam serta masing-masing seorang wanita warga China dan Indonesia.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini aktif sejak empat bulan lalu dengan menyasarkan mangsa dalam kalangan warga Vietnam.
“Sindiket ‘love scam’ ini dipercayai menggunakan aplikasi Rakuten Viber untuk memancing mangsa dengan ayat manis sebelum menawarkan pelaburan mata wang kripto melalui laman sesawang palsu,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, ahli sindiket dibayar antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan, manakala penyelia menerima antara RM5,000 hingga RM6,000 bergantung kepada peranan dan prestasi.
“Mereka juga dijanjikan komisen antara RM500 hingga RM2,000 bagi setiap mangsa yang berjaya diperdaya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, satu lagi sindiket penipuan dalam talian yang menawarkan khidmat seks tidak wujud turut dibongkar, dengan sasaran utama warga China menggunakan aplikasi DingTalk.
“Hasil pemeriksaan di kedua-dua premis membawa kepada rampasan tiga komputer riba, 21 komputer, 85 telefon bimbit, tiga unit modem dan router, 18 dokumen skrip penipuan serta 32 pasport milik suspek,” katanya.
Menurut beliau, semua suspek direman sehingga 30 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta beberapa kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.


