Pengiktirafan UEC dipersetujui Kabinet, tidak sepatutnya dipolitikkan – PM

PENGIKTIRAFAN kerajaan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak sepatutnya dipolitikkan dan dijadikan isu oleh mana-mana pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan tersebut telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Dunia sekarang, semuanya nak kaitkan dengan politik. Kenyataan telah dikeluarkan semalam (Khamis) bahawa Kabinet bersetuju dengan syarat pemegang UEC perlu lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

“Jadi, kita beri ruang walaupun mungkin memerlukan beberapa kursus perguruan kerana sebelum ini perkara itu tidak dipersetujui. Namun, apabila sekolah-sekolah Cina menerima syarat tersebut, kita (kerajaan) turut menerimanya dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Kebangsaan di Sendayan, Seremban hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Anwar berkata, syarat berkenaan bukan sahaja terpakai kepada pemegang UEC, malah turut dikenakan kepada pelajar sekolah agama Arab, sekolah menengah, institusi tahfiz dan sekolah antarabangsa yang melibatkan pelajar Malaysia.

Tambahnya, buat masa ini semua syarat-syarat tersebut diterima, namun ada beberapa perincian yang sedang dibincangkan.

Semalam media melaporkan, calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.

Bagi calon lepasan SMPC/UEC, antara program dikenal pasti ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.

Mesyuarat Jemaah Menteri turut bersetuju bahawa calon daripada aliran terbabit yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta diperakui KPM boleh dipertimbangkan untuk mengikuti program tertentu di IPTA.

Semua permohonan akan diproses berdasarkan prinsip meritokrasi, syarat kelayakan akademik serta tertakluk kepada ketetapan dan keputusan Senat Universiti.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img