MALAYSIA setakat ini tidak akan membantah tindakan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang dilaporkan mengemukakan permohonan pengampunan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana perkara itu terletak di bawah bidang kuasa kerajaan AS dan bukan sesuatu yang akan diusahakan secara rasmi oleh Malaysia.
“Tidak, tiada isu …itu keputusan AS. Setakat ini kita tidak akan ke arah itu. Itu urusan AS,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Kebangsaan di Sendayan, Seremban hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Perdana Menteri ditanya sama ada Malaysia akan membuat sebarang representasi rasmi kepada pihak berkuasa AS bagi membantah sebarang kemungkinan pengampunan diberikan kepada Jho Low.
Pada masa sama Perdana Menteri berkata, pihaknya melihat tiada isu perlu dibangkitkan berhubung permohonan pengampunan itu kerana ia di luar bidang kuasa Malaysia.
Namun beliau berkata, Malaysia tetap tidak menyokong langkah Jho Low yang mengemukakan permohonan pengampunan itu.
“Kita tidak menyokong langkah itu, tetapi ia adalah urusan AS,” katanya.
Akhbar kewangan antarabangsa, Wall Street Journal (WSJ) pada Selasa lalu melaporkan Jho Low, dilaporkan sedang mengemukakan permohonan pengampunan daripada Trump.
Permohonan itu difailkan dalam tempoh beberapa minggu lalu, mengikut sumber yang mempunyai maklumat mengenai perkara berkenaan.
Jika permohonan itu diluluskan, ia akan menggugurkan semua pertuduhan jenayah yang dihadapi Jho Low di AS.


