![]()
SEORANG pengundi di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Merlimau 2 mendakwa tidak dapat menunaikan tanggungjawabnya kerana namanya dipercayai sudah digunakan individu lain untuk mengundi.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Rahayu Hamzah berkata, beliau menerima aduan berhubung kejadian itu sebelum satu laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Saya terima aduan pengundi di SK Merlimau 2 tidak dapat mengundi kerana ada orang lain telah menggunakan namanya untuk mengundi.
“Laporan polis telah dibuat dan saya mohon pihak yang berwajib dapat menyiasat aduan ini dengan cepat,” katanya kepada pemberita dan menerusi rakaman video tular hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pengundi yang berdepan masalah sama supaya segera membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN berkenaan, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh turut menggesa pengundi yang terjejas supaya membuat laporan polis.
Beliau juga meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan segera berhubung dakwaan berkenaan.
Pengadu yang dikenali sebagai K Sanmuga pula mengesahkan laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Merlimau.





