Suami isteri maut Myvi bertembung lori muatan ayam beku

SEPASANG suami isteri maut selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Parit Sembilan, Labu Kubong menghala ke Kampung Gajah di Teluk Intan awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 pagi itu, kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 32 dan 33 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di dalam kenderaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.55 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan bergegas ke lokasi.

KEADAAN lori bonded membawa muatan ayam beku yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Myvi di Parit Sembilan, Labu Kubong menghala ke Kampung Gajah di Teluk Intan awal pagi ini. GAMBAR: JBPM Perak

Beliau berkata, jentera tiba di tempat kejadian pada jam 6.11 pagi, kira-kira 13 kilometer dari balai.

“Sebaik sahaja tiba, anggota mendapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi yang bertembung dengan sebuah lori bonded satu tan bawa muatan ayam beku.

“Terdapat dua mangsa dalam kereta iaitu pasangan suami isteri yang tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata, dua lelaki yang menaiki lori berkenaan iaitu pemandu dan kelindan berusia 37 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

Katanya, operasi menyelamat dilakukan dengan kekuatan sembilan anggota menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

“Anggota menggunakan peralatan rescue cutter bagi membuat renggangan pada kenderaan sebelum mengeluarkan mangsa menggunakan scoop stretcher.

“Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 7 pagi dan ditamatkan pada jam 8.18 pagi.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img