SEPASANG suami isteri maut apabila kereta jenis Toyota Vios dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Proton Persona di Batu 5 (Kilometer 8) Jalan Maharajalela dekat Teluk Intan petang ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pasangan berusia 70 tahun itu meninggal dunia di lokasi akibat tersepit dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang.
“Pasukan penyelamat tiba di lokasi dan mendapati kemalangan melibatkan dua buah kereta iaitu Proton Persona dan Toyota Vios dan terdapat tiga mangsa tersepit.
“Anggota bomba menjalankan kerja menyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan kesemua mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Sabarodzi, seorang lagi lelaki berusia 63 tahun iaitu pemandu Proton Persona juga tersepit dalam kenderannya namun hanya mengalami kecederaan pada tangan dan kaki.
Beliau berkata, mangsa yang cedera diserahkan kepada pegawai perubatan untuk rawatan, manakala mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.


