Kerajaan beri keutamaan kepada sektor pendidikan negara, jamin tambah peruntukan – PM

KERAJAAN akan terus mengutamakan sektor pendidikan sebagai agenda utama negara dengan menilai keperluan dari semasa ke semasa, termasuk meningkatkan peruntukan dalam Belanjawan akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu selari dengan keperluan mendesak untuk memperkukuh bidang pendidikan khususnya dalam aspek digital, kecerdasan buatan (AI), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menurut beliau, perbincangan bersama Kementerian Kewangan telah diadakan bagi meneliti keperluan tambahan agar peruntukan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat dipertingkatkan.

“Kerajaan memberikan penumpuan besar dalam bidang pendidikan.

“Maka ada beberapa keperluan yang kita akan nilai semula supaya dalam Belanjawan nanti, kita dapat tingkatkan lagi perbelanjaan dan kelulusan untuk KPM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-55 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru di Ipoh hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Anwar turut menyampaikan Anugerah Sekolah Terbaik Dunia kepada Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (1), selain Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan kepada Dr Ahmad Rafee Che Kassim dan Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan kepada Abdul Rasid Bakar.

Sebagai komitmen terhadap kebajikan warga pendidik, beliau meluluskan tambahan RM100 juta bagi menaik taraf serta menyelenggara kira-kira 7,000 bilik guru di seluruh negara.

Selain itu, sebanyak RM50 juta lagi diperuntukkan bagi penyelenggaraan 8,700 unit kuarters guru bagi memastikan keselesaan dan keselamatan tempat tinggal mereka terus terjamin.

Kedua-dua peruntukan itu adalah antara 12 inisiatif yang diumumkan oleh Fadhlina bagi memperkasakan dan memperkukuh tugas guru bersempena dengan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-55 tahun ini.

Dalam pada itu, Anwar memuji pencapaian guru-guru Malaysia yang berjaya meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa meskipun berkhidmat di kawasan pedalaman.

Beliau memberi contoh kejayaan guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sebangang di Lawas, Sarawak yang tersenarai sebagai finalis Top 50 bagi anugerah berprestij dunia, Global Teacher Prize 2025 serta pengiktirafan diterima seorang lagi guru dari SK Bingkor, Keningau, Sabah yang membangunkan pendekatan inovatif Neuro Arts.

Menurutnya, lawatan beliau ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi di Kudat, Sabah turut meninggalkan kesan mendalam apabila sekolah tersebut berjaya memanfaatkan teknologi digital melalui inisiatif NADI sehingga menerima pengiktirafan International Telecommunication Union (ITU) di Geneva, Switzerland.

“Tidak berbanggakah kita. Sekolah-sekolah di kawasan terpencil begitu boleh mendapat pengiktirafan dunia,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar mengingatkan barisan guru agar bersedia berdepan kritikan termasuk yang tidak adil dengan menjadikannya sebagai dorongan memperbaiki mutu pendidikan negara.

Katanya, dalam dunia yang semakin mencabar dengan pengaruh media sosial dan perdebatan luar yang kadangkala tidak berlandaskan realiti pendidikan, guru memainkan peranan penting dalam membentuk generasi berilmu dan berakhlak.

“Matlamat pendidikan adalah untuk menggali ilmu, meningkatkan kefahaman dan membentuk manusia yang mempunyai nilai.

“Dalam masa sama, kita juga harus menguasai teknologi baharu selari dengan kepantasan sistem pendidikan sekarang. Kalau lemah bahasa Inggeris, Matematik atau Sains, perbaiki dan kuasai,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img