INSTITUT Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) terus memperkukuh usaha melahirkan lebih ramai usahawan benih bawang tempatan sebagai sebahagian daripada komitmen memperkasa industri bawang sekali gus menyokong agenda keterjaminan makanan negara.
Komitmen tersebut dizahirkan menerusi lawatan kerja Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani ke plot pengeluaran benih bawang merah Usahawan MARDI di Ulu Pilah di Seri Menanti, Negeri Sembilan hari ini.

Menurut beliau, projek berkenaan merupakan antara inisiatif penting MARDI dalam membangunkan pengeluaran benih bawang tempatan secara mampan melalui pemindahan teknologi, khidmat bimbingan dan pemantauan berterusan sehingga tahun 2030.
Beliau berkata, projek ini merupakan antara usahawan pertama di Negeri Sembilan di bawah bimbingan MARDI bagi pengeluaran benih bawang.

“MARDI membantu dari aspek teknologi, pengeluaran benih dan pembangunan projek secara menyeluruh dalam memperkasa pengeluaran benih bawang negara menerusi program bimbingan usahawan yang dikelolakan MARDI.
“Kita juga berhasrat memperluaskan program ini ke negeri-negeri lain bagi melahirkan lebih ramai usahawan bawang yang benar-benar komited dan berpotensi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak pengeluaran benih bawang merah tersebut yang diusahakan oleh Famagro Sdn Bhd, dan Zara Ecoharvest Sdn Bhd.
Menurut Mohamad Zabawi, projek usahawan bimbingan MARDI di beberapa negeri kini menunjukkan perkembangan memberangsangkan termasuk di Kundasang, Sabah; Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Bachok, Kelantan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Famagro Sdn Bhd dan Zara Ecoharvest Sdn Bhd, Muhammad Nasirullah Mohamad Nazlan berkata, penglibatan syarikatnya dalam tanaman bawang bermula pada tahun 2025 selepas menerima tawaran kerjasama daripada MARDI.
Menurut beliau, walaupun sebelum ini syarikat hanya menumpukan kepada tanaman cili, projek bawang yang diusahakan kini berjaya mencatat hasil tuaian yang meyakinkan hasil sokongan dan bimbingan berterusan daripada MARDI.
“Kami bermula tanpa pengalaman dalam tanaman bawang, namun MARDI banyak membantu dari segi pemantauan, data, teknologi dan pengurusan projek.
“Alhamdulillah, hasil tuaian pertama menunjukkan potensi yang sangat baik dan memberi keyakinan kepada kami untuk terus mengembangkan projek ini,” katanya.
Beliau berkata, kawasan tanaman yang diusahakan kini melibatkan kira-kira 10 ekar dengan enam ekar telah dilengkapi sistem fertigasi moden yang terletak di Ulu Pilah dan Tanjung Ipoh.
Katanya, syarikat menyasarkan pengeluaran sehingga 15 hingga 20 tan hasil bagi setiap pusingan apabila operasi mencapai kapasiti penuh pada masa hadapan.
Selain itu, projek tersebut turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila hasil pengeluaran per polybag berjaya melebihi sasaran awal yang ditetapkan.
Muhammad Nasirullah turut berharap program pembangunan tanaman bawang yang dilaksanakan MARDI dapat diteruskan dalam jangka panjang memandangkan negara masih bergantung kepada import bawang dari luar negara.
Usaha pembangunan usahawan bawang tempatan oleh MARDI dilihat selari dengan aspirasi kerajaan dalam memperkukuh sektor agromakanan negara, meningkatkan pengeluaran makanan tempatan serta mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan makanan utama.


