Anggota polis disyaki dalang edar dadah di Langkawi ditukar serta-merta

POLIS Kedah mengesahkan anggota polis dikenali sebagai ‘Mr A’ yang dipercayai dalang rangkaian pengedaran dadah di sekitar Langkawi sudah ditukar serta-merta atas kepentingan awam.

Ketua Polis Negeri, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pertukaran itu bukan bertujuan melindungi anggota terlibat, sebaliknya kerana siasatan dan tindakan lanjut masih diteruskan.

Beliau berkata, siasatan dan tindakan tetap berjalan dan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dalam penagihan mahupun pengedaran dadah.

“Kita akan ambil tindakan walaupun pegawai dan anggota dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri, ” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di Alor Setar hari ini, lapor Buletin TV3.

Adzli berkata, siasatan kes berkaitan narkotik memerlukan penelitian terperinci termasuk bukti dan saksi yang mempunyai kredibiliti sebelum tindakan lanjut dilakukan.

Selain itu, beliau berkata polis telah mengambil tindakan terhadap seorang individu dikenali sebagai ‘Bagok’ berusia 47 tahun yang turut dikaitkan dalam carta tular berhubung isu berkenaan.

Katanya, lelaki itu pernah ditahan sebanyak dua kali tahun ini dan terbaru kelmarin.

Menurutnya, Bagok berasal dari Kampung Kelibung, Langkawi, Kedah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penularan isu berkaitan kegiatan dadah ‘Pablo Escobar 2.0’ di Langkawi.

“Tangkapan pertama dilakukan pada 11 April lalu, namun tiada dadah ditemukan ketika itu dan kita buka kertas siasatan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya selepas ujian air kencing didapati positif.

“Terbaru tiga hari lalu, kita tangkap dia sekali lagi dan ujian saringan air kencing juga positif methamphetamine,” katanya.

Adzli turut mendedahkan seramai 54 pegawai dan anggota polis di Kedah ditahan kerana terlibat dalam penagihan dadah sejak 2023 hingga April lalu.

‘’Daripada jumlah itu seramai 38 individu dituduh di mahkamah dan digantung tugas, manakala tiga lagi masih dalam tindakan,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img