SEBUAH pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Mandiri menafikan tuduhan menerima dana asing yang kononnya digunakan untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti tular menerusi satu video di aplikasi TikTok yang kini sudah dipadam.
Pengarah Eksekutif pertubuhan itu, Amir Hariri Abd Hadi berkata, tuduhan itu bersifat politik dan bertujuan menyerang organisasi anak muda yang lantang menyuarakan pelbagai isu termasuk berkaitan korupsi.
Menurutnya, dakwaan sedemikian bukan perkara baharu kerana ia sering digunakan terhadap aktivis, NGO dan media bebas di Asia Tenggara.
Amir Hariri berkata, Mandiri adalah sebuah NGO yang beroperasi seperti organisasi bukan kerajaan lain dengan memohon geran yang majoritinya disenaraikan secara umum bagi menampung kos operasi.
“Geran-geran ini boleh dipohon oleh sesiapa sahaja bergantung kepada kemampuan organisasi masing-masing.
“Mandiri juga tidak pernah memohon sumbangan awam selain mempunyai polisi dalaman untuk tidak menerima sebarang dana daripada mana-mana kerajaan, agensi kerajaan termasuk kerajaan Malaysia serta mana-mana ahli politik bagi memastikan operasi bebas tanpa campur tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Mandiri memberi fokus kepada usaha memperkasa anak muda dan mahasiswa di Malaysia menerusi lima teras utama iaitu keadilan sosial, hak asasi, ketelusan pentadbiran kerajaan, keadilan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
Jelasnya, organisasi itu turut menjalankan kelas, forum dan perbincangan akademik berkaitan lima teras utama selain mengadakan kempen termasuk kempen melawan korupsi.
Beliau turut menegaskan bahawa Mandiri bukan parti politik dan tidak terbabit dalam perebutan kuasa termasuk usaha mengangkat atau menjatuhkan Perdana Menteri.
“Sebagai organisasi progresif, kami berpegang kepada nilai demokratik dan bertindak dalam kerangka demokrasi.
“Kami juga menafikan sebarang bentuk hubungan bersama Rafizi Ramli atau mana-mana ahli politik. Kami tidak mempunyai sebarang kaitan dengan beliau,” katanya.
Menurutnya, kerjasama yang pernah berlaku sebelum ini hanya berkaitan isu yang dikempenkan bersama termasuk berkaitan pegangan saham bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta isu mafia korporat.
Beliau berkata, Mandiri menegaskan tidak melakukan sebarang salah laku dan sentiasa bersedia memberi kerjasama jika diperlukan bagi sebarang siasatan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya akan berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kumpulan yang mengadakan sidang media di hadapan IPD Dang Wangi susulan dakwaan fitnah dan tuduhan palsu dilemparkan terhadap organisasi itu.
Tambahnya, tindakan turut akan diambil terhadap pemilik akaun TikTok yang memuat naik kandungan video AI mengaitkan Mandiri, yang kini sudah dipadam.
“Isu ini juga tidak akan dapat mendiamkan kami. Malah kami akan melipatgandakan gerak kerja khususnya dalam isu hak asasi dan melawan rasuah sehingga berjaya membersihkan negara daripada koruptor yang merosakkan negara,” katanya.


