GABUNGAN Pakatan Harapan (PH) bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor jika ia diadakan dalam tempoh terdekat.
Pengarah Komunikasinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata demikian bagi mengulas spekulasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mungkin dibubarkan seawal 24 Jun ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi ditemui pemberita pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di Johor Bahru hari ini.
Spekulasi itu timbul selepas tular mesej WhatsApp mendakwa satu sidang khas DUN Johor akan berlangsung pada tarikh berkenaan, yang turut didakwa mengumumkan pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN Johor.
Spekulasi politik di Johor semakin memuncak selepas Menteri Besar merangkap Pengerusi BN negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam mengumumkan bahawa gabungan itu akan bertanding semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang.
Bagaimanapun, pemimpin Barisan Nasional (BN) dan UMNO Johor yang dihubungi mengingatkan semua pihak supaya tidak menganggap mesej berkenaan sebagai pengesahan rasmi di tengah-tengah desas-desus politik mengenai kemungkinan pembubaran DUN Johor.
Untuk rekod, penggal semasa DUN Johor dijadual tamat pada April 2027 sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.


