CUBAAN dua lelaki dipercayai menyeludup lebih satu tan minyak masak bersubsidi ke negara jiran gagal apabila kenderaan dinaiki mereka dipintas dalam operasi bersepadu di Banggol Chicha dekat Pasir Mas, malam tadi.
Dalam operasi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bermula jam 10 malam itu, dua suspek berusia 22 dan 27 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, operasi dijalankan hasil risikan terhadap sebuah Perodua Alza yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyelewengan dan penyeludupan minyak masak bersubsidi.
Menurutnya, operasi dijalankan pegawai penguat kuasa KPDN dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah 3 Pengkalan Kubor.
“Pegawai serbuan mengekori kenderaan terbabit dari Bulatan Lemal menghala ke Rantau Panjang sebelum pemandunya bertindak memandu secara melulu dan berbahaya selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Kenderaan itu berjaya dipintas di hadapan sebuah rumah sebelum pemeriksaan lanjut menemukan minyak masak peket satu kilogram disimpan di bahagian tempat duduk belakang serta bonet kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 1,207 kilogram minyak masak bersubsidi yang kemudian disita bersama kenderaan terbabit.
“Keseluruhan rampasan dipercayai cuba diseleweng untuk dibawa ke negara jiran,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Aswadi berkata, KPDN Kelantan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.


