PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa gabungan parti itu akan bertanding di semua kawasan sama ada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) mahu pun Pilihan Raya Umum (PRU).
Beliau yang juga Perdana Menteri dan Presiden PKR, bagaimanapun berkata, masih ada ruang perbincangan sebelum sebarang keputusan muktamad diputuskan.
“Kita tengah dikejutkan dengan keputusan BN, UMNO yang mahu bertanding semua kawasan (DUN) di Johor, saya tidak terkejut kerana kita dah pantau. Itu keputusan mereka.
“Sementara ini, kepimpinan Pusat masih baik dan harmoni. Tetapi, kalau mereka ambil keputusan bertempur di Johor, hari ini PH ambil keputusan menjawab dengan tegas, PH akan bertanding di semua kawasan.
“Di Negeri Sembilan, kita bertanding semua. Selangor, Pulau Pinang, Pahang, kita bertanding semua. Tetapi, saya sebut ini kalau mereka yang mula melanggar, kita tegas, kalau runding baik, kita orang baik dan sabar serta bijak, kita mahu selamatkan negara ini sebab kita amalkan politik stabil.
“Johor dan Negeri Sembilan, kita lawan semua. Johor sedia? Negeri Sembilan sedia? Lawan tetap lawan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di Johor Bahru hari ini.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu berkata, sekiranya pertempuran yang dipilih, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk mengadakan PRU lebih awal.
“Dalam tempoh terdekat, saya akan adakan rundingan dengan pimpinan PH bukan sahaja di negeri ini, tetapi kalau beginilah cara kita diperkotak-katikkan (hubungan), mungkin PRU seluruh negara diadakan.
“Keputusan tarikh itu Perdana Menteri yang buat, tetapi biarlah kita putuskan bersama, harus dengar nasihat kawan-kawan juga,” katanya.
Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan BN akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor akan datang.
PH Johor menerusi Pengerusinya, Aminolhuda Hassan hari ini turut mengumumkan gabungan itu akan bertanding di semua kerusi DUN.


