SEORANG pensyarah universiti kerugian lebih RM304,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian tidak wujud yang dipromosikan menerusi Facebook.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, Mangsa wanita berusia 50 tahun itu dikatakan tertarik dengan iklan pelaburan berkenaan sebelum dihubungi individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp pada 10 Januari lalu.
“Mangsa kemudian dipujuk menyertai program pelaburan terbabit selepas dijanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa melakukan pemindahan wang secara berperingkat antara 19 Januari hingga 14 Februari lalu ke dalam 12 akaun bank berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM304,427.46.
“Mangsa turut diminta memuat turun satu aplikasi yang kononnya memaparkan keuntungan hasil pelaburan dilakukan.
“Terdapat paparan keuntungan berjumlah RM116,069.50 pada platform berkenaan, namun apabila mangsa cuba mengeluarkan wang itu, akaunnya disekat,” katanya.
Beliau berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas gagal mengakses akaun pelaburan terbabit sebelum membuat laporan polis.
Menurutnya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Shahrulanuar turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi tidak munasabah terutama yang dipromosikan menerusi media sosial dan aplikasi pesanan ringkas.


