DATUK Seri Anwar Ibrahim memaklumkan prestasi pertumbuhan ekonomi negara terus mencatat pencapaian memberangsangkan meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan kenaikan harga minyak dunia.
Perdana Menteri berkata, pertumbuhan ekonomi negara pada tahun lalu serta suku pertama tahun ini merekodkan prestasi lebih tinggi daripada unjuran awal kerajaan.
“Pertama sukan negara dan kedua pertumbuhan ekonomi negara kerana, tahun lalu suku tahun akhir dan suku tahun ini dalam keadaan sibuk Perang Teluk, kemudian harga minyak sekarang sudah lebih 100 Dolar Amerika Syarikat (AS) satu tong.
“Masa kita buat unjuran ekonomi 70 Dolar AS satu tong, sekarang 100 dolar satu tong, tapi alhamdulillah dalam keadaan begitu pun, prestasi pertumbuhan ekonomi kita tahun lalu dan suku pertama tahun ini lebih tinggi daripada unjuran,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2025 di Bukit Jalil hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, keadaan itu memerlukan kerajaan memberi perhatian serius terhadap pengurusan ekonomi negara termasuk langkah menghadapi tekanan kos semasa.
Katanya, selain ekonomi, sukan juga menunjukkan prestasi lebih baik daripada sasaran yang diunjurkan
Beliau menyifatkan semangat atlet negara yang berjaya melepasi sasaran itu contoh kepada pentadbiran kerajaan untuk mencapai prestasi lebih baik daripada jangkaan.






