SEORANG suri rumah dihadapkan semula ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, atas pertuduhan membuat hantaran komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menerusi akaun Facebook miliknya pada Januari tahun lalu.
Tertuduh, Suhaila Abd Halim, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak.
Mengikut pertuduhan, ibu kepada enam anak itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen bersifat jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dan dilihat pada jam 8.30 pagi, 5 Januari 2025 di Hospital Sungai Buloh.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali selain denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhli Ab Wahab bersama Pegawai Pendakwa MCMC, Mohamad Azmir Mohd Razali.
Fadhli mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warga negara.
Bagaimanapun, peguam Rushilan Gunalan yang mewakili Suhaila memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya masih mempunyai anak yang menyusu selain berasal daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat MCMC berhampiran kediamannya sebulan sekali sehingga kes selesai.
Tertuduh turut diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 21 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Suhaila sebelum ini pernah didakwa atas kesalahan sama di mahkamah sama pada 7 Julai tahun lalu dan mengaku tidak bersalah.
Bagaimanapun, pada 17 September 2025, mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) tertuduh susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan perkataan ‘jelik’ dan ‘menyakitkan hati’ dalam Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebagai tidak berperlembagaan.
Namun, Mahkamah Persekutuan pada 6 Februari lalu memutuskan perkataan ‘jelik’ dan ‘menyakitkan hati’ di bawah Seksyen 233 adalah sah serta selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.


