SEDANIA Innovator Berhad (SEDANIA) mencatatkan prestasi suku terbaik dalam segmen Teknologi Pengguna bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2026 (3Q2026) dengan rekod hasil dan keuntungan operasi daripada segmen Teknologi Pengguna Lestari terus mengukuhkan pertumbuhan pendapatan di peringkat Kumpulan.
Menurut kenyataannya, bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2026 (9M2026), SEDANIA merekodkan peningkatan hasil sebanyak 6 peratus tahun ke tahun (YoY) kepada RM63.6 juta manakala Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) meningkat lebih dua kali ganda kepada RM5.07 juta.
Keuntungan sebelum cukai turut menunjukkan peningkatan ketara kepada RM1.99 juta dengan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM0.82 juta bagi tempoh tersebut.
“Segmen Teknologi Pengguna Lestari muncul sebagai pemacu utama pertumbuhan, dengan peningkatan hasil sebanyak 67 peratus YoY kepada RM5.17 juta bagi 3Q2026, manakala keuntungan operasi meningkat lebih dua kali ganda kepada RM2.40 juta, pencapaian suku tahunan tertinggi setakat ini.
“Bagi 9M2026, segmen ini mencatatkan hasil sebanyak RM11.93 juta, meningkat 35 peratus YoY dengan keuntungan operasi naik kepada RM4.57 juta.
“Prestasi memberangsangkan ini didorong oleh peningkatan pesat penggunaan penyelesaian pembiayaan digital patuh Syariah utama Kumpulan, iaitu As-Sidq dan Program Pembiayaan GoHalal,” kata kenyataan SEDANIA hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan merangkap Pengasas SEDANIA, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, apa yang disaksikan melalui As-Sidq dan GoHalal bukan sekadar lonjakan jangka pendek sebaliknya satu perubahan struktur.
“Rakyat Malaysia, termasuk institusi yang berkhidmat untuk mereka, kini aktif mencari penyelesaian pembiayaan yang selari dengan nilai, mudah diakses secara digital dan inklusif kepada golongan yang kurang mendapat perkhidmatan. Itulah yang kami bina, dan pasaran memberi respons positif.
“Prestasi suku ini mengesahkan hasil pelaburan berterusan kami dalam platform teknologi.
“Kami kini berada pada titik perubahan penting, di mana sifat hasil fintech yang berulang, digabungkan dengan margin yang kukuh serta rangkaian rakan institusi yang semakin berkembang, menjadikan segmen Teknologi Pengguna sebagai pemangkin transformasi sebenar dalam Kumpulan,” katanya.
Bagi Pengerusi, Tun Md Raus Sharif, peningkatan keuntungan SEDANIA mencerminkan ketahanan model perniagaan yang pelbagai dan berteraskan tujuan.
“Platform teknologi yang semakin berkembang melengkapi ekosistem kesejahteraan pengguna kami, sekali gus meletakkan Kumpulan pada kedudukan kukuh untuk penciptaan nilai jangka panjang.
“Dalam usaha memperluaskan perniagaan, kami kekal berpandukan misi untuk meningkatkan kualiti hidup secara mampan melalui produk yang lebih selamat, kesejahteraan holistik dan akses kewangan yang inklusif,” katanya.
Permintaan kini bukan sahaja datang daripada pengguna dan perniagaan secara langsung malah dipacu oleh penyedia perkhidmatan kewangan digital termasuk bank, institusi kewangan bukan bank serta pengendali platform digital yang mengintegrasikan penyelesaian SEDANIA dalam ekosistem masing-masing bagi memperluas akses pembiayaan kepada pelanggan.
Perkembangan ini mengukuhkan kedudukan SEDANIA sebagai pemacu utama dalam landskap pembiayaan digital di Malaysia.
As-Sidq terus mencatat momentum sebagai platform pilihan institusi yang ingin menawarkan pembiayaan telus, berteraskan teknologi dan patuh Syariah.
Pada masa sama, Program Pembiayaan GoHalal turut menerima sambutan menggalakkan merentasi saluran pengguna dan institusi, mencerminkan keutamaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian kewangan yang beretika dan inklusif dalam persekitaran di mana akses kepada pembiayaan adil amat penting.
Melangkah ke hadapan, SEDANIA menjangkakan segmen Teknologi Pengguna Lestari akan terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan masa depan, disokong oleh permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian pembiayaan digital serta peluang hasil berulang.
SEDANIA juga kekal komited memperkukuh jenama kesejahteraan pengguna melalui pelaburan berterusan dalam pembinaan jenama, inovasi dan inisiatif penglibatan pelanggan.


