Malaysia hantar notis tuntut kerugian lebih RM1 bilion kepada syarikat pertahanan Norway

MALAYSIA secara rasmi menghantar notis tuntutan kepada sebuah syarikat pertahanan Norway susulan pembatalan lesen eksport bagi sistem peluru berpandu yang diperuntukkan untuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dengan jumlah tuntutan melebihi RM1 bilion.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan menuntut kos langsung dan tidak langsung susulan keputusan unilateral Norway menarik balik lesen eksport bagi sistem pertahanan berkenaan.

Beliau berkata, Malaysia sudah membuat bayaran sebanyak €126 juta (RM583 juta), bersamaan 95 peratus daripada nilai kontrak sebelum lesen itu dibatalkan.

“Semalam, kami telah menghantar notis kepada syarikat Norway itu. Kami menuntut kos langsung dan tidak langsung.

“Kos langsung berjumlah €126 juta, iaitu jumlah yang telah kami bayar kepada mereka,” katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja Ke Lumut Naval Shipyard (LUNAS) di Pangkalan TLDM Lumut, di Manjung hari ini.

Sebelum ini beliau dilaporkan berkata, kerajaan akan meneruskan tindakan saman terhadap syarikat pembekal peluru berpandu Norway, Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) susulan keputusan negara itu membatalkan lesen eksport berkenaan.

Terdahulu, Kementerian Luar Norway dilaporkan menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu sebagai sebahagian usaha memperketat kawalan eksport negara itu.

Menurut laman web syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan NSM dimeterai antara TLDM dan KDA pada April 2018 dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam kapal LCS baharu.

Peluru berpandu itu berkeupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan jarak melebihi 300 kilometer.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img