KEMENTERIAN Sumber Asli dan Kelestarian Alam menjelaskan usaha membawa pulang tiga ekor gajah Dara,Amoi, Kelat dari Zoo Tnnoji di Osaka, Jepun tidak boleh dilakukan secara terburu-buru.
Ia kerana tegas Timbalan Menterinya Syed Ibrahim Syed Noh, langkah itu perlu melalui beberapa proses serta prosedur yang ditetapkan.
ajah
“…bukan maknanya hari ini kita (kata) nak bawa balik, esok (juga) sudah boleh bawa balik. Selain itu, kita juga ada perjanjian di antara Zoo Taiping and Night Safari (ZTNS) serta Zoo Tennoji.
“Perkara ini perlu diambil kira dan diteliti dengan cermat, tetapi bila tu (bawa pulang) tak tahulah. Saya pun tak ada maklumat tentang perkara itu,” katanya di Mersing, lapor FMT .
Syed Ibrahim berkata pihak kementerian menyerahkan kepada ZTNS dan Majlis Perbandaran Taiping untuk mengendalikan isu berkaitan haiwan tersebut termasuk tindakan yang perlu diambil.
Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup dilaporkan berkata cadangan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk membawa pulang tiga gajah berkenaan wajar dipertimbangkan secara serius.
Sebelum ini, Jawatankuasa Pilihan Alam Sekitar, Sains dan Perladangan Parlimen mencadangkan supaya satu sesi tinjauan fizikal dilakukan ke atas tiga ekor gajah Asia itu.
Jawatankuasa dianggotai 12 Ahli Dewan Rakyat dan dipengerusikan Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Mohamed @Hashim itu memaklumkan tinjauan tersebut bagi melihat sendiri keadaan tiga ekor gajah berkenaan, susulan isu berkenaan menjadi perhatian serta mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat.


