10 kapal misi GSF 2.0 dijangka tiba di Gaza dalam tempoh sembilan jam

PUSAT Operasi Sumud Nusantara (SNCC) menjangkakan 10 kapal dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dijadual tiba di pantai Gaza kira-kira sembilan jam lagi.

Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Arabi berkata, setakat jam 3.30 petang ini, kesemua kapal kini berada di Zon Merah 2 (RZ2), kira-kira 100 batu nautika dari pantai Gaza dan masih meneruskan pelayaran.

“Berdasarkan kelajuan sekitar 15 kilometer sejam atau lapan knot, kapal berkenaan dijangka memasuki peringkat akhir perjalanan menuju Gaza.

“Mengikut pengiraan kami, kapal-kapal ini dijangka tiba dalam tempoh kira-kira sembilan jam lagi. Ini adalah sembilan jam yang mendebarkan kerana ia merupakan fasa terakhir perjalanan,” katanya dalam sidang media di Sepang hari ini.

10 kapal terbabit termasuk Alcyone, Andros, Cabo Blanco, Don Juan, Elengi, Girolama, Kasr-i-Sadabad, Lina, Sirius dan Zefiro.

Katanya, SNCC turut mengesahkan empat rakyat Malaysia yang menyertai misi berkenaan masih selamat dan sedang berlayar menuju Gaza.

“Mereka ialah Muhammad Hareez Adzrami dan Chin yang berada di kapal Alcyone, Syed Amirul (Don Juan) serta Dr Noor Thanisah (Zefiro),” jelasnya.

Mengulas perkembangan aktivis yang ditahan, Sani berkata SNCC masih menunggu pengesahan lanjut mengenai lokasi sebenar mereka.

“Setakat ini, kami masih belum menerima pengesahan sama ada mereka masih ditahan di atas kapal di tengah laut atau telah dibawa ke Pelabuhan Ashdod.

“Kami menjangkakan dua kemungkinan. Pertama, berdasarkan maklumat awal yang diterima, terdapat laporan mendakwa kapal tentera rejim bergerak menuju Greece, namun perkara itu masih dalam pemerhatian dan belum dapat disahkan.

“Senario kedua pula berdasarkan kenyataan Menteri Luar Itali yang memaklumkan jangkaan bahawa kapal berkenaan akan tiba di Ashdod esok,” katanya.

Menurutnya, SNCC tidak menolak kemungkinan berlaku percubaan mengelirukan mengenai lokasi sebenar tahanan, susulan dakwaan Israel membuat pindaan undang-undang berkaitan GSF.

“Sekiranya mereka dibawa ke darat, tempoh tahanan bukan lagi 70 jam sebelum dibebaskan, sebaliknya hanya 24 jam. Jadi, ada kemungkinan mereka ditahan lebih lama di tengah laut sebelum dibawa masuk ke darat,” ujarnya.

Untuk rekod, setakat ini sebanyak 40 kapal flotila membabitkan hampir 350 aktivis kemanusiaan termasuk 25 rakyat Malaysia dilaporkan dipintas oleh pihak rejim Israel.

Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memaklumkan kerajaan sedang berhubung serta bekerjasama rapat dengan beberapa pemimpin negara Eropah termasuk Turkiye dan Sepanyol bagi memastikan semua aktivis yang ditahan dibebaskan segera menerusi usaha diplomatik bersepadu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img