Saman fitnah : Papagomo diarah bayar ganti rugi RM280,000 kepada Guan Eng

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo membayar ganti rugi RM280,000 kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan anak lelakinya dalam kes saman fitnah.

Hakim Roslan Mat Nor memutuskan demikian selepas membenarkan saman fitnah Lim dan Clint Lim Way Chau selaku plaintif terhadap Wan Muhammad Azri sebagai defendan berhubung isu penahanan Way Chau di Singapura atas dakwaan membawa masuk wang tunai RM2 juta pada 2020 tanpa pengisytiharan.

“Mahkamah memerintahkan defendan membayar ganti rugi global berjumlah RM200,000 dan kos RM30,000 kepada plaintif pertama (Guan Eng) serta membayar ganti rugi RM80,000 dan kos RM10,000 kepada defendan kedua (Way Chau),” kata Hakim Roslan lapor Bernama.

Pada 19 April 2020, Guan Eng dan anaknya memfailkan saman mendakwa defendan telah menyiarkan kenyataan berbaur fitnah di laman Facebook beliau bahawa Way Chau telah ditahan di Lapangan Terbang Changi pada 29 Feb 2020 kerana membawa masuk wang tunai sebanyak RM2 juta tanpa mengisytiharkannya.

Guan Eng berkata defendan yang memuat naik hantaran itu di laman Facebook di bawah nama ‘Papa Azri’ pada 14 Mac 2020, mendakwa beliau telah ke Singapura pada 29 Feb 2020 selepas anaknya ditahan di Lapangan Terbang Changi.

Hakim Roslan dalam penghakimannya berkata selepas meneliti keterangan saksi-saksi, mahkamah mendapati Wan Muhammad Azri adalah ‘Papa Azri’ yang terpapar dalam kenyataan dibuat di Facebook.

“Defendan adalah individu yang mengendalikan akaun Fan Page ‘Papa Azri’ di Facebook dan tiada keterangan menunjukkan akaun tersebut dikendalikan oleh pihak lain,” katanya.

Selain itu, Hakim Roslan berkata kenyataan defendan merujuk kepada kedua-dua plaintif berhubung isu penahanan Way Chau di Singapura.

“Mahkamah berpuas hati bahawa kenyataan sedemikian menimbulkan persepsi umum bahawa plaintif pertama (Guan Eng) merupakan individu tidak amanah dan cuba merestui tindakan anaknya serta cuba menyelesaikan masalah anaknya yang ditahan di sana (Singapura).

“Keterangan pihak berkuasa pula mengesahkan kejadian tangkapan plaintif kedua di Singapura itu tidak berlaku, manakala plaintif pertama tidak ke luar negara ketika itu kerana pasportnya ditahan di mahkamah atas pertuduhan jenayah,” katanya.

Hakim Roslan berkata mahkamah berpuas hati bahawa maklumat berkaitan penahanan itu bukan dicetuskan oleh defendan, sebaliknya berdasarkan maklumat yang dibaca dan diteliti daripada pihak ketiga.

“Bagaimanapun, individu membuat hantaran semula kenyataan fitnah adalah memikul tanggungjawab yang sama dengan pihak memulakan atau menulis kenyataan fitnah tersebut. Oleh itu, pihak yang menerima pernyataan yang akhirnya didapati berunsur fitnah, tidak boleh menyatakan terdapat pembelaan justifikasi.

“Penting bagi individu yang menerima apa-apa kenyataan yang tidak dapat dipastikan kebenarannya, tidak sewenang-wenangnya membuat hantaran semula kerana mereka akan terdedah dengan tindakan fitnah,” katanya sambil menambah mahkamah menolak pembelaan justifikasi dan komen adil yang dikemukakan  defendan.

Sementara itu, Hakim Roslan berkata walaupun plaintif dan defendan mempunyai perbezaan fahaman politik, mahkamah perlu meneliti keterangan serta undang-undang tanpa dipengaruhi sebarang sentimen politik melibatkan kedua-dua pihak.

“Mahkamah perlu mempertahankan sistem kehakiman dan tidak terpengaruh dengan mana-mana persetujuan dalam membuat sesuatu keputusan. Perkara yang amat penting ialah keputusan dibuat semata-mata berdasarkan keterangan yang dikemukakan di mahkamah,” katanya.

Mengenai ganti rugi, Hakim Roslan berkata sekiranya jumlah yang diberikan terlalu rendah, ia boleh menyebabkan individu sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan fitnah dengan berselindung di sebalik kebebasan bersuara, sedangkan itu bukan matlamat undang-undang fitnah diwujudkan.

Prosiding hari ini dihadiri peguam Simon Murali yang mewakili kedua-dua plaintif, manakala peguam Logen Eskander Abdullah dan Fazilah Jaafar mewakili Wan Muhammad Azri.

Kes saman itu asalnya difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 19 April 2020 sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini pada 23 Mac 2021.

Pesuruhjaya Kehakiman mendiang Eddie Yeo Soon Chye yang mendengar perbicaraan kes berkenaan pada 2024 meninggal dunia pada Februari tahun lepas sebelum kes itu dikendalikan Hakim Roslan, dengan kedua-dua pihak bersetuju hakim baharu membuat keputusan berdasarkan nota prosiding sedia ada.

Selepas prosiding, Logen Eskander memberitahu pemberita bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img