SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu kerana disyaki menyeleweng dana awam berjumlah RM800,000.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek yang terdiri daripada bekas penolong eksekutif kanan badan awam, penjawat awam dan pemilik sebuah syarikat itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu, semalam.
“Suspek berusia lingkungan 30-an ditahan antara jam 12.30 tengah hari hingga 1 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.
“SPRM Terengganu menahan tiga suspek yang terdiri daripada seorang bekas penolong eksekutif kanan pentadbiran, pemilik syarikat dan penjawat awam bagi membantu siasatan. Bagaimanapun, hanya dua daripada mereka direman pagi ini selepas seorang lagi suspek dibebaskan berikutan masalah kesihatan,” katanya.
Kata sumber, siasatan awal mendapati semua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu pada 2023 dan 2024.
kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 25 Mei bagi membantu siasatan lanjut berhubung dakwaan berkenaan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan beberapa lagi tangkapan susulan akan dilakukan bagi membantu proses siasatan.


