PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan pasukan sepak takraw negara yang muncul juara acara kuadran Piala Dunia Sepak Takraw, semalam.
Menerusi hantaran di Facebook miliknya, beliau berkata kejayaan itu bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia, malah membuktikan keupayaan anak watan untuk terus bersaing di peringkat antarabangsa.
“Tahniah pasukan negara atas kejayaan muncul juara acara kuadran di Piala Dunia Sepak Takraw selepas menewaskan India 2-0 dalam aksi penuh semangat, disiplin dan daya juang tinggi.
“Kejayaan ini bukan sekadar mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia, malah membuktikan anak watan memiliki kecekalan, kesatuan tekad dan kemampuan untuk terus bersaing serta mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau turut menyifatkan semangat juang dipamerkan skuad negara sebagai kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.
“Syabas wira negara. Semangat juang yang dipamerkan menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia. Tahniah!” katanya.


