SEORANG suri rumah yang juga ibu kepada seorang anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Batu Pahat hari ini atas pertuduhan membantu menguruskan rumah persundalan yang menempatkan dua wanita warga Indonesia bulan lalu.
Tertuduh, Ummu Marssietah Sazubir, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menguruskan sebuah rumah persundalan yang menempatkan dua wanita Indonesia berusia 38 dan 41 tahun di sebuah premis di Taman Maju Bistari, Parit Raja.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 6 petang pada 9 April lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 373(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh dipercayai menyewa rumah terbabit sebelum bertindak sebagai pengurus kepada migran yang memasuki negara ini menggunakan pas sosial.
Dia kemudian didakwa menawarkan pekerjaan sebagai pelacur kepada wanita terbabit dengan bayaran RM250 bagi setiap pelanggan.
Daripada jumlah itu, tertuduh dipercayai mengambil RM150 manakala baki selebihnya diberikan kepada migran terbabit sebagai komisen.
Siasatan turut mendapati semua transaksi pembayaran dibuat menerusi akaun bank milik tertuduh.
Kegiatan itu terbongkar selepas polis menyerbu premis berkenaan dan menahan dua wanita warga Indonesia yang dipercayai terbabit dalam aktiviti persundalan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Razak Sharif.
Terdahulu, pihak pembelaan memohon jaminan minimum atas alasan tertuduh tidak bekerja selain masih menyusukan anaknya yang berusia enam bulan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap awal bulan.
Mahkamah kemudian menetapkan 16 Jun depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.


