DUA lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini, atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu menerusi aplikasi TikTok, bulan lalu.
Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap setiap tertuduh atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.
Tertuduh pertama, Mohd Aiman Zaini Satar, 29, yang bekerja sebagai pemandu peribadi didakwa menggunakan akaun TikTok @aimanzaini24 untuk membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu dengan niat menyakitkan hati individu lain.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 4 April lalu dan kandungan berkenaan dikesan pada 5 April kira-kira jam 11 pagi di Aras 8, MCMC Tower 1, Jalan IMPACT, Cyber 6, di sini.
Seorang lagi tertuduh, Romfazly Syam Mohd Mokhtar, 46, yang merupakan sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), turut mengaku bersalah atas pertuduhan sama.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 4 April kira-kira jam 3 petang menggunakan akaun TikTok @fazlydrako sebelum kandungan tersebut dikesan pada keesokan harinya di lokasi sama.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 233(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali selain denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Nazrul Nizam Mohd Zameri.


