SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Baling hari ini, atas 13 pertuduhan menggunakan nombor kad pengenalan (MyKad) individu lain untuk membeli petrol bersubsidi di bawah inisiatif BUDI Madani RON95 (BUDI95), Mac dan April lalu.
Tertuduh, Azman Aziz, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rohaida Ishak.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berasal dari Perak didakwa menyamar sebagai tiga individu lain berusia 23, 25 dan 57 tahun dengan menggunakan nombor kad pengenalan milik mereka bagi membeli kuota petrol bersubsidi.
Perbuatan itu didakwa membabitkan penggunaan kuota petrol bersubsidi sebanyak 594.459 liter sehingga menyebabkan ketiga-tiga mangsa mengalami kerugian kuota subsidi bulanan mereka.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak BH Petrol Padang Lengkuas di sini antara 18 Mac hingga 24 April lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 416 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Masniah Dolah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 8 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Tertuduh dilaporkan membayar wang jaminan di kaunter kompleks mahkamah selepas prosiding selesai.


